Peria Katak mula mengeluarkan daun.


Penat lelah seorang petani akan terbalas apabila benih yang disemai bercambah dan akhirnya mengeluarkan helaian daun yang pertama. Mekarnya helaian daun itu menandakan ada sinar dan harapan dalam setiap usaha yang dilakukan.

Jika dahulu aku sering marah pada ayah kerana sentiasa tidak punya masa untuk kami adik beradik kerana sibuk dengan kebun dan ladang malah kami juga diheret bersama mengerjakan tanah dikebunnya. Kini aku mengerti dan faham tentang perlunya kesungguhan dalam mencapai sesuatu yang baik. Maklumlah waktu itu aku tak faham apa-apa, cuma jiwa kanak-kanak yang nakal.

Ayah selalu marah jika anak semaiannya mati kekeringan atau rosak dikerjakan si Jalak. Kadangkala marahnya sampai ke malam dan keesokkannya. Kalaulah aku masih mengingati kata-katanya, akan aku catatkan di sini sebagai tatapan rakan-rakan, namun aku cuma aku yang mudah lupa.

Seorang guru pula pernah memberitahu, untuk menjadi petani yang baik dan berjaya perlulah peka dengan setiap perkembangan pokok. Jika benihnya baik tentulah hasilnya baik.

Teringat juga kata-kata sifu fertigasi, seseorang itu akan menjadi petani yang berjaya apabila dia berupaya menilai kualiti hasil dengan hanya melihat kepada anak semaian.

Kedua-dua kenyataan ini jelas menunjukan bahawa kunci kepada kejayaan adalah kesanggupan, ketelitian dan ada kesungguhan dalam setiap tindakan yang dilakukan.
Cuba kita tanya pada diri sendiri, berapa kerap kita menjenguk tanaman yang kita tanam dalam sehari? Barulah kita boleh menilai samada tangan kita jenis yang panas atau sejuk.
#Selamat berkebun untuk semua.

Comments

Popular Posts